Thursday, 26 January 2012

KARANGAN PENULISAN BAHASA MELAYU(11 karangan)


                                JENIS KARANGAN

1.   KARANGAN  PENCERITAAN/CEREKA
2.  KARANGAN  GAMBARAN
3.   KARANGAN  FAKTA
4.  KARANGAN  PERIBAHASA
5.   KARANGAN  RENCANA
6.  KARANGAN  LAPORAN
7.  KARANGAN  SURAT  KIRIMAN  RASMI
8.  KARANGAN  SURAT  KIRIMAN  TIDAK  RASMI
9.  KARANGAN  SYARAHAN
10.               KARANGAN  CERAMAH
11.KARANGAN  UCAPAN






 KARANGAN PENCERITAAN/CEREKA


Amalan “balik kampung” telah menjadi kebiasaan dalam kalangan penduduk Malaysia apabila perayaan–perayaan besar disambut. Ceritakan pengalaman anda ketika balik ke kampung untuk menyambut satu perayaan di sana.











Suasana di stesen bas di bandar raya Ipoh kelihatan sangat sibuk. Di sana sini orang menjaja, berbual-bual, berbaris untuk membeli tiket bas, anak-anak kecil merengek, dan pengumuman demi pengumuman dibuat melalui pembesar suara. Beginilah sibuknya situasi di stesen bas ketika hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setiap orang hendak pulang ke destinasinya sendiri. Begitu juga dengan aku.
       “Pepsi, Sarsi!” pekik si penjual minuman tin.
        Aku menghulurkan RM1.50 untuk membeli setin minuman untuk menghilangkan haus. Pemandu bas membunyikan hon menyuruh semua penumpang menaiki bas. Aku menaiki bas dan duduk di kerusi bernombor F8 sebagaimana tercatat di tiket bas aku. Perjalanan ke kampungku memakan masa lima jam.
        Sepanjang perjalanan, wajah-wajah yang kurindui muncul dalam kotak fikiranku. Aku mula berasa bosan kerana tiada kawan di sisiku untuk berbual-bual. Aku cuba melelapkan mata tetapi aku tidak biasa tidur di dalam bas. Seorang wanita melemparkan senyuman mesranya kepadaku.
      “Cucu hendak pergi ke mana?”
      “Balik ke kampung, nek.”
         Kami mula berbual mesra. Aku memanggil orang tua itu Nek Timah. Dia memang seorang tua yang berbakat dalam menyampaikan berbagai-bagai cerita rakyat. Aku tertarik dengan “Cerita Si Tanggang” yang mengisahkan seorang anak yang derhaka terhadap ibunya. Akhirnya anak darhaka itu disumpah menjadi batu.
        “Pasir Mas! Pasir Mas!” tiba-tiba pekikan konduktor bas mengejutkan aku. Dari tingkap bas kunampak ayah, ibu dan adik-adikku sedang menungguku.
“Selamat tinggal Nek Timah,” ucapku kepada orang tua itu dan bersalaman dengannya. Dia telah menghiburkan aku dengan cerita-cerita rakyat sepanjang perjalanan tadi.





           KARANGAN GAMBARAN


 Pada musim tengkujuh yang lepas, tempat tinggal anda dilanda banjir. Gambarkan keadaan banjir pada masa itu.












             Apabila menjelang musim tengkujuh, penduduk kampung saya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Pada bulan lepas, hujan lebat turun selama beberapa hari. Akibatnya, kawasan kampung yang rendah mula dilanda banjir.
             Ketika itu, seluruh kampung ditenggelami air. Semak samun tidak kelihatan langsung, yang tinggal hanyalah pokok-pokok. Apabila saya memandang keadaan di sekeliling dari jendela rumah, seluruh kawasan kampung kelihatan seperti lautan sahaja.
             Pada kebiasaannya, terdapat kereta, motosikal, dan basikal yang lalu-lalang di jalan atau lorong kampung. Pada masa itu, tidak kelihatan langsung kenderaan yang sedemikian. Penduduk kampung mula menggunakan perahu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
             Berdasarkan pengalaman yang lepas, sebelum musim tengkujuh penduduk kampung sudah membeli barangan keperluan seharian untuk disimpan. Jadi, apabila sekitar kampung sudah dilanda air bah, rata-rata penduduk kampung hanya tinggal di dalam rumah sepanjang hari. Segala aktiviti harian terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
             Nasib baik air bah pada kali ini berlarutan selama empat hari sahaja. Setelah mengurung diri di dalam rumah selama empat hari, kami semua bergotong-royong untuk membersihkan kawasan sekitar rumah selepas air bah surut.









               KARANGAN FAKTA


Pembangunan yang tidak terkawal menyebabkan pencemaran. Bincangkan jenis-jenis pencemaran yang berlaku dan kesannya kepada manusia.













                 Malaysia telah melangkah setakuk lagi dalam kemajuan Negara. Jika dahulu Malaysia ialah sebuah Negara pertanian, kini telah menjadi Negara perindustrian bermula pada tahun 1990-an. Kini, banyak kilang didirikan bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pembangunan yang dikecapi pada hari ini mencetuskan pencemaran. Dalam konteks ini, pencemaran bermaksud kerosakan pada alam sekitar dan mengancam nyawa manusia. Terdapat empat jenis pencemaran, iaitu pencemaran udara, air, tanah dan bunyi.
                 Pencemaran udara berlaku apabila karbon monoksida (CO) yang berlebihan dilepaskan ke udara. Sebagai contoh, daripada asap kilang, ekzos kenderaan dan asap rokok. Asap yang berlebihan ini berlegar-legar di ruang udara dan disedut oleh manusia. Kesan penyedutan  CO yang berlebihan akan menyebabkan penyakit mata, asma, dan yang paling serius ialah penyakit radang paru-paru. Bukan itu sahaja, pencemaran udara boleh menyebabkan masalah jerebu dan meningkatkan suhu bumi.
                 Menyentuh tentang pencemaran air pula, pembuangan sisa toksik atau bahan kimia oleh pihak kilang turut menjejaskan sungai atau laut di Negara kita. Selain itu, penternak-penternak yang mengalirkan bahan kumbahan ternakan mereka ke sungai atau laut turut menyumbang kepada pencemaran air. Akibatnya hidupan akuatik pupus dan mengancam keselamatan orang ramai yang menggunakan air sungai untuk kegunaan seharian. Mereka mungkin terdedah kepada penyakit kulit dan keracunan makanan.
                 Pembangunan yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan pencemaran tanah. Bahan kimia yang meresap ke dalam tanah mengakibatkan tanah berasid. Tanah berasid tidak sesuai bagi penanaman pokok, lebih-lebih lagi pokok hiasan. Ini akan menjejaskan periuk nasi pengusaha pokok hiasan. Jelaslah di sini, pencemaran tanah meninggalkan kesan kepada manusia.
                 Konklusinya, daripada pembangunan yang tidak terkawal akan mengakibatkan pencemaran berlaku dan meninggalkan kesan buruk kepada manusia. Pihak kerajaan perlu marancang dengan teliti setiap projek pembangunan yang hendak dilaksanakan. Sesebuah Negara yang maju memerlukan rakyat yang sihat dari segi mental dan fizikal. 



           KARANGAN PERIBAHASA

Sifat bersabar dan terus berusaha itu amat penting untuk seorang pelajar. Tulis sebuah karangan yang menjelaskan maksud “Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang.”













                “Genggam bara api biar sampai jadi arang” bermaksud membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa ini bertentangan dengan satu lagi peribahasa yang berbunyi “hangat-hangat tahi ayam.” Peribahasa ini satu nasihat yang amat baik untuk mereka yang ingin mencapai kejayaan dalam hidupnya.
                  Salah satu contoh dalam hidup kita yang perlukan nasihat yang sedemikian ialah semasa menerima pendidikan di sekolah. Tidak kira sama ada kita berada di sekolah rendah, di sekolah menengah atau universiti. Apabila didapati ada mata pelajaran yang sukar, kita haruslah bersabar dan terus berusaha sehingga mata pelajaran yang pada mulanya susah itu kita fahami pada akhirnya.
                  Aku masih ingat lagi, Radin, iaitu rakan sekelasku semasa kami berada di tahun enam beberapa tahun yang lalu. Pada awal tahun, dia tidak pernah lulus dalam semua ujian Matematiknya. Namun demikian, dia sentiasa mengingatkan dirinya supaya bersabar. Langkah yang seterusnya, dia telah memperuntukkan masa selama sejam sehari untuk membuat ulangkaji Matematik sahaja. Di samping selalu bertanyakan guru Matematiknya, Radin sering berbincang denganku soalan-soalan matematik yang tidak difahaminya.
                 Sifat sabar dan rajin berusaha Radin telah membuahkan hasil pada akhirnya. Dalam peperiksaan PMR pada tahun yang sama, dia telah memperoleh gred A dalam matematik.kisah benar Radin ini membuktikan bahawa dalam hidup ini kita harus mengamalkan semangat “genggam bara api biar sampai jadi arang.”   








              KARANGAN RENCANA

Punca Pelajar Tidak Minat Sains Dan Matematik.














                            Mengapakah kebanyakan pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains dan Matematik tidak mencapai pencapaian yang diharapkan? Ada pihak yang berpendapat bahawa sikap acuh tak acuh dan perasaan takut dalam kalangan pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran ini merupakan punca utamanya.
                             Kebanyakan pelajar didapati salah tanggap bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik ini adalah terlalu sukar. Pada mereka, teori sains merupakan suatu konsep yang abstrak. Kiraan matematik pula memerlukan pemikiran yang luar biasa tajam. Pengkaji menggolongkan keadaan yang sedemikian sebagai satu fobia. Fobia yang sedemikianlah menyebabkan pelajar tidak yakin akan dirinya.
                              Di samping itu, terdapat ibu bapa yang menghidap “penyakit fobia” yang sama. Pada mereka, aliran sastera lebih mudah diikuti. Selain itu, peluang pekerjaan di pasaran untuk pelajar aliran sains dan satera adalah sama sahaja. Dengan kata lain, anak-anak mereka tetap mempunyai hari muka yang cerah walaupun belajar dalam aliran sastera. Secara tidak langsung, pemikiran ibu bapa yang sedemikian akan mempengaruhi pemikiran anak-anak mereka.
                              Terdapat sesetengah pelajar pula terikut-ikut dengan pilihan rakan-rakan yang masuk ke aliran sastera. Dalam usia yang muda ini, pengaruh-mempengaruhi merupakan satu perkara yang biasa. Pandangan negatif dalam kalangan rakan seperti “mengapa harus kita pilih mata pelajaran Sains dan Matematik yang susah?” sudah cukup mempengaruhi pemikiran seseorang pelajar terhadap Sains dan Matematik.
                              Pihak sekolah dan ibu bapa haruslah memainkan peranan mengubah fikiran muda-mudi agar menerima Sains dan Matematik. Guru di sekolah umpamanya haruslah memikirkan jalan untuk menjadikan mata pelajaran Sains dan Matematik sebagai mata pelajaran yang menarik. Tindakan ini penting untuk memastikan impian menjadikan Negara kita sebuah Negara yang maju akan menjadi kenyataan pada suatu hari kelak.





                   KARANGAN LAPORAN

Sebagai pengawas sekolah, anda diminta membuat kajian tentang faktor-faktor kelewatan pelajar datang ke sekolah. Tulis laporan kajian anda itu selengkapnya.













                        Laporan Kajian Faktor-faktor Kelewatan Pelajar Datang Ke Sekolah

Sepanjang bulan Julai 2011, Badan Pengawas Sekolah telah melantik beberapa orang pengawas untuk menjalankan kajian tentang faktor-faktor kelewatan pelajar datang ke sekolah. Ahli yang terpilih terdiri daripada Saudara Zachrya Afiq, Saudara Hidayatullah, Saudara Izzam, dan saya sendiri. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti punca masalah kelewatan pelajar dating ke sekolah. Hasil kajian ini kemudiannya akan digunakan bagi merancang strategi untuk mengurangkan masalah ini ke tahap yang minimum.
                               Setiap hari persekolahan, kami bertanyakan pelajar yang didapati datang lewat ke sekolah. Antara alasan yang paling banyak diberikan oleh pelajar berkenaan ialah menonton televisyen sehingga larut malam. Hal ini disebabkan rancangan menarik yang disiarkan di televisyen sehingga larut malam. Keadaan ini mengundang mereka untuk menonton sesuatu tayangan gambar sehingga habis waktu siaran.
                               Ada pula yang memberikan alasan bahawa bas sekolah datang lewat.  Sebahagian daripada mereka juga menyalahkan masalah yang berlaku pada kenderaan awam seperti tayar kereta pancit, kelewatan pemandu, kerosakan enjin di tengah jalan, dan masalah kesesakan lalu lintas. Alasan-alasan yang sedemikian perlu diteliti akan kebenarannya.
                              Sesetengah pelajar yang datang lewat ke sekolah pula menyatakan mereka dibebankan dengan kerja sekolah yang terlalu banyak. Keadaan ini bertambah buruk apabila pada petang itu ada kegiatan kokurikulum. Akibatnya, mereka terpaksa membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru sehingga lewat malam. Ini menyebabkan mereka tidak dapat bangun awal pada keesokan harinya.
                              Data-data kajian yang diperoleh akan diserahkan kepada pihak Lembaga Disiplin sekolah secara terperinci dalam mesyuarat bulanan Badan Pengawas sekolah. Kajian seumpama ini perlu diadakan dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti masalah pelajar dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah pelajar datang lewat ke sekolah.
Disediakan oleh,                                                                                                         4 OGOS 2011

(AFIQ ASYRAF BIN ASMADI)                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                    
 Ketua Kumpulan Kajian,
Masalah Kelewatan Pelajar,
Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Dua.

     KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

Sekolah anda akan mengadakan “Minggu Jauhi Dadah”. Anda selaku setiausaha Kelab Bimbingan dan Kaunseling diminta menjemput Jabatan Kesihatan daerah anda mengadakan pameran tentang pameran penyalahgunaan dadah. Tulis surat itu selengkapnya.












Kelab Bimbingan dan Kaunseling,
Sekolah Menengah Sains Miri,
Peti surat 25,
52300 Miri,
Sarawak.

Pengarah,
Jabatan Kesihatan,
52300 Miri,
Sarawak.                                                                                                                     12 JUN 2011.

Tuan,
Jemputan Mengadakan Pameran Penyalahgunaan Dadah

Merujuk perkara di atas, saya selaku setiausaha Kelab Bimbingan dan Kaunseling dengan segala hormatnya menjemput pihak tuan mengadakan pameran di Sekolah Menengah Sains Miri.
2.       Untuk makluman pihak tuan, sekolah kami akan mengadakan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) pada 15 hingga 19 Julai 2011 bertempat di Dewan Mutiara Sekolah Menengah Sains Miri. Sehubungan itu, kami ingin menjemput pihak tuan sama-sama menjayakan program tersebut.
3.        Objektif utama diadakan Minggu Jauhi Dadah ialah:
           (a) memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya dadah melalui aktiviti yang
                diadakan, 
           (b) mendedahkan kesan-kesan buruk dadah serta mempamerkan contoh-contoh dadah dan
                 alatan yang digunakan oleh penagih dadah,
           (c) mengajak masyarakat sama-sama memerangi dadah,
           (d) mendidik golongan pelajar menjauhi dadah.
4.         Sepanjang karnival PPDa beberapa aktiviti lain diadakan, iaitu ceramah, tayangan filem, edaran risalah atau poster serta kuiz.
5.         Bersama-sama pihak tuan nanti, terdapat jabatan-jabatan lain yang turut serta menjayakan pemeran seperti Jabatan Polis Diraja Malaysia. Lokasi pameran adalah di Dewan Mutiara Sekolah Menengah Sains Miri.
Sekiranya pihak tuan bersetuju dengan cadangan di atas, peralatan pameran yang diperlukan akan disediakan oleh pihak sekolah. Sambutan dan sokongan daripada pihak tuan amat dialu-alukan. Semoga usaha murni ini beroleh kejayaan dan mencapai matlamatnya. Sekian, terima kasih.

Yang benar,

(ASMIDAR AHMAD)
    KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK                                                                                                                                                                                                                             
                                                         RASMI 


Seorang kenalan lama anda yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini berminat untuk mengetahui cara-cara anda belajar untuk mendapat 8A dalam PMR yang lalu. Tulis cara-cara belajar dengan berkesan kepada kenalan anda itu.



                                                                                                                                   

                                                                                                                                                                                                                     









                                                                                                                      No. 60 Taman Mewah,
                                                                                                                      17450 Tanjung Malim,
                                                                                                                      Perak Darul Ridzuan.
                                                  
                                                                                                                       11 Februari 2011

Menemui sahabatku Juliana yang kini berada di Tumpat, Kelantan dengan selamatnya.

Saudari,
          Surat saudari yang bertarikh 5 Januari 2011 telah selamat saya terima. Terima kasih atas ucapan tahniah yang dihulurkan dan kesudian saudari mengirim berita buat saya setelah hamper setahun tidak bersua.
           Menyentuh berkenaan pertanyaan saudari dalam warkah yang lalu berkaitan resipi kejayaan cemerlang saya dalam PMR. Sebenarnya, saya tidak mempunyai sebarang rahsia dan saya bersedia berkongsi dengan saudari.
            Antara usaha yang saya buat adalah dengan menyediakan jadual waktu pembelajaran sendiri. Saya mengikuti dengan sepenuhnya seperti yang telah dijadualkan. Setiap hari saya mengambil masa lebih kurang empat jam untuk belajar, dua jam pada waktu petang dan dua jam lagi pada sebelah malam.
            Saya juga sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Perhatian yang tekun disamping mencatat apa yang dianggap penting semasa guru sedang mengajar.
             Apabila pulang sahaja dari sekolah, saya akan mengulang kaji pelajaran yang telah dipelajari disekolah pada hari itu sebagai pengukuhan. Selain itu, saya juga membuat nota-nota ringkas dan padat selain daripada yang diarahkan oleh guru.
              Sekiranya saya tidak faham apa yang telah dipelajari, saya pastinya akan merujuk perkara tersebut kepada guru atau rakan-rakan seperti pepatah melayu berbunyi “segan bertanya, sesat jalan”. Oleh sebab itu, janganlah malu untuk bertanya walaupun mungkin soalan kita itu mudah bagi orang lain.
               Di samping perkara-perkara di atas, sya turut membuat latihan dari semasa ke semasa selain yang dibekalkan oleh guru di sekolah. Bapa saya juga sering membelikan buku-buku latihan berbentuk soalan-soalan PMR tahun-tahun lepas.
                Perhatian dan sikap mengambil berat oleh kedua-dua orang tua saya menjadi pendorong yang kukuh untuk memotivasikan diri saya. Sikap yakin diri juga penting untuk Berjaya berserta dengan tawakal kepada allah kerana kita hanya mempu merancang. Cukup sampai disini sahaja, semoga kita bersua kembali pada warkah yang akan datang.

                                                                                                                                 Sahabatmu,
                                                                                                                             Siti Hawa

                   KARANGAN SYARAHAN

Anda telah dipilih oleh pihak sekolah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Tabiat Merokok Dalam Kalangan Pelajar” sempena Minggu Pendidikan Moral di sekolah anda. Tulis teks syarahan anda.












            Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengetua Sekolah Menengah Tok Merah, Encik Abdullah Yusof, penolong-penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan yang saya hormati. Salam satu Malaysia.
             Pada pagi yang bermakna ini, saya Mohd. Daniel Johan dari Tingkatan 3 Pendekar berasa amat bertuah kerana diberi peluang menyampaikan syarahan yang bertajuk “Gejala Merokok dalam Kalangan Pelajar” sempena Minggu Pendidikan Moral sekolah kita.
              Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati sekalian,
              Tabiat merokok dalam kalangan pelajar pada masa kini semakin hangat diperkatakan. Kalau dahulu perkara ini merupakan sesuatu yang sukar untuk diterima tetapi kini perkara tersebut seolah-olah menjadi budaya hidup para remaja. Pelajar yang terbabit sudah tidak mempunyai perasaan malu merokok di tempat awam dan terbuka seperti di pusat-pusat beli-belah walaupun masih berpakaian seragam sekolah.
               Salah satu sebab pelajar mula mengamalkan perbuatan ini adalah kerana perasaan ingin tahu. Sikap ingin mencuba sesuatu yang baharu telah disalahertikan oleh pelajar yang terbabit. Mereka bermula dengan sehari sebatang. Lama-kelamaan meningkat kepada sehari sekotak. Daripada mencuba, mereka akhirnya menjadi ketagih akan rokok. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada mencuba perkara ini supaya kita tidak terjerumus lebih jauh.
                Pengaruh rakan sebaya juga mengakibatkan pelajar merokok. Mereka yang takut digelar pengecut akan merokok demi memelihara ikatan persahabatan. Ada juga yang dipaksa merokok sebelum dibenarkan menyertai sesebuah kumpulan. Majoriti yang terlibat dalam kumpulan samseng terdiri daripada mereka yang merokok. Jelaslah bahawa rakan sebaya berperanan penting dalam mempengaruhi tabiat merokok pelajar.
                Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,
                 Tabiat merokok pelajar turut dipengaruhi oleh media massa. Iklan rokok yang berselindung di sebalik kegagahan pelakonnya Berjaya mempengaruhi pelajar. Mereka menganggap kehebatan dan kegagahan itu akan mereka peroleh dengan menghisap rokok.
                  Sebelum mengakhiri syarahan ini, saya merumuskan bahawa tabiat merokok dalam kalangan pelajar harus dibanteras pada peringkat awal sebelum memudaratkan. Saya sudahi syarahan ini dengan menyeru rakan semua agar mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala yang tidak berfaedah ini kerana boleh menjejaskan masa depan kita semua. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
                    Sekian, terima kasih.

             KARANGAN CERAMAH

Anda seorang pegawai kesihatan yang dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pelajar tentang tabiat makan yang baik. Tulis teks ceramah anda selengkapnya.













Terima kasih Pengerusi Majlis, Saudari Umi. Yang Dimuliakan Tuan Pengetua, penolong-penolong kanan, guru-guru dan pelajar-pelajar yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, izinkan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi mengundang saya berceramah tentang tabiat makan yang baik.
                         Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
                          Kita sedia maklum bahawa makanan merupakan keperluan setiap benda yang hidup di dunia ini. Berbanding dengan makhluk hidup yang lain, manusia memiliki tabiat makan yang paling luar biasa. Kita pentingkan jenis makanan, rasa dan menggunakan berbagai-bagai cara untuk memasak. Keadaan yang sedemikian dari satu segi membolehkan kita menikmati rasa pelbagai jenis makanan. Akan tetapi, ada kalanya kita lupa akan tabiat makan yang baik. Apakah yang dimaksudkan dengan tabiat makan yang baik?
                            Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
                            Pertama, kita harus pentingkan masa kita makan. Ramai dalam kalangan kita tidak sedar betapa pentingnya kita makan mengikut masa yang terancang. Dengan kata lain, kita harus makan pada masa-masa yang telah ditetapkan dan bukannya makan ketika kita berasa lapar sahaja. Katakanlah kita bersarapan pada pukul 6.30 pagi, makan tengah hari pada pukul 1.00 petang dan makan malam pada pukul 7.00 malam. Tabiat makan secara sistematik yang sedemikian akan mengelakkan seseorang daripada menghidap penyakit gastrik atau penyakit perut yang lain.
                              Selain makan mengikut masa yang telah ditetapkan, seseorang itu juga harus merancang kekerapan makan dalam satu hari. Umumnya, manusia hanya perlu makan tiga kali sehari. Kalau perlu, kita boleh tambahkan minum petang dengan makan kuih-muih atau biskut. Cuba elakkan daripada makan mengikut hati sendiri.
                              Sebaik-baiknya, kita harus memupuk sifat yang sederhana dalam soal makan ini. Jika kita makan terlalu banyak, tabiat ini akan menambahkan berat badan kita. Jika kita makan terlalu sedikit, kita akan menghadapi masalah kekurangan tenaga untuk melakukan kerja-kerja seharian. Selain itu, kita juga tidak harus terlalu cerewet akan rasa makanan dan makan makanan yang sedap sahaja. Hal seperti ini akan menyebabkan kita mengambil terlalu banyak perisa yang tidak baik untuk kesihatan badan.
                               Saudara dan saudari yang saya kasihi,
                               Yang kita pentingkan ialah makanan yang seimbang. Makanlah lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan daripada daging. Seterusnya, jangan lupa minum air yang mencukupi pada setiap hari. Dengan tabiat baik yang sedemikian, saya pasti kesihatan dan proses tumbesaran saudara dan saudari akan mencapai tahap yang sebaik-baiknya. Dengan itu, saya akhiri ceramah saya pada pagi ini dengan harapan agar warga sekolah ini sihat selalu. Sekian.
                 KARANGAN UCAPAN

Satu majlis perpisahan akan diadakan untuk mengucapkan “selamat jalan” kepada seorang rakan kelas anda yang akan mengikut keluarganya ke luar Negara. Anda diminta untuk menyamppaikan ucapan dalam majlis ini. Sediakan teks ucapan anda selengkapnya.












Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha Cik Apidah Amin, guru kelas, Saudara Mohd Iqmal Romiu yang akan berpisah dengan kita tidak lama lagi, dan rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
                     Seperti yang kita tahu, majlis jamuan kelas yang tidak seberapa ini adalah untuk mengucapkan selamat jalan kepada Saudara Mohd Iqmal Romiu yang akan mengikuti keluarganya ke Liverpool, England.
                      Hadirin sekalian,
                       Sebagai Ketua Kelas 3 Pintar, sumbangan yang telah diberikan oleh Saudara Iqmal setakat ini besar sekali. Sejak beliau menjadi ketua kelas, kelas 3 Pintar telah memperoleh banyak kejayaan. Kelas kita telah menjadi kelas terbersih sepanjang tahun ini. Ketekunan, ketegasan, dan keprihatinan merupakan sifat yang ada pada ketua kelas kita ini. Saudara Mohd Iqbal telah menunjukkan contoh yang baik untuk kita teladani.
                        Disamping pencapaian akademik yang membanggakan, beliau juga sangat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Berdasarkan kedua-dua kriteria yang penting ini, Saudara Iqmal telah menjadi “pelajar contoh” sekolah kita pada tahun ini. Kejayaan yang sedemikian merupakan satu kebanggaan buat kelas 3 Pintar. Kejayaan yang sedemikian telah menyuntik semangat juang kepada kami untuk mengikuti jejak beliau.
                        Hadirin yang saya kasihi sekalian,
                         Mulai minggu hadapan, semua rakan di kelas 3 Pintar ini akan kehilangan seorang pemimpin yang berkaliber dan juga seorang kawan karib. Kami pasti tidak akan lupa lawak jenaka Saudara Iqmal yang sentiasa menghiburkan kami. Begitu juga dengan jasa yang beliau taburkan, terutamanya semasa kita berada dalam kesusahan, Saudara Iqmal tidak pernah lupa untuk menghulurkan bantuan ikhlas.
                          Akhir sekali, saya mewakili rakan-rakan lain yang ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat jalan kepada Saudara Iqmal. Semoga saudara akan memperoleh kebahagiaan di Negara orang. Kalau ada masa lapang, jangan lupa menghantar surat atau e-mel kepada kami semua di sini.
                           Sekian, terima kasih.

1 comment: